Yayasan Pelajaran MARA (YPM) sentiasa memperkukuh tadbir urus organisasi bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti, cekap dan berkesan kepada kumpulan sasar serta para pemegang taruh. Selaras dengan komitmen tersebut, operasi dan pengurusan YPM dilaksanakan berteraskan piawaian serta amalan terbaik yang menekankan aspek kualiti, integriti, tadbir urus dan persekitaran kerja yang kondusif. Komitmen ini dizahirkan melalui pencapaian beberapa pensijilan dan pengiktirafan yang mencerminkan usaha berterusan YPM dalam mempertingkat kecekapan pengurusan, memperkukuh keyakinan pemegang taruh serta memastikan penyampaian perkhidmatan sentiasa memenuhi standard yang ditetapkan.
Bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang cekap, berkesan dan berkualiti, Yayasan Pelajaran MARA (YPM) komited dalam melaksanakan Sistem Pengurusan Kualiti berasaskan piawaian ISO 9001:2015. Pensijilan yang dianugerahkan oleh SIRIM QAS International ini telah diperoleh oleh YPM sejak 22 Disember 2017 dan terus dikekalkan melalui proses pembaharuan pensijilan sehingga kini.
Pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti ini merangkumi skop utama YPM, iaitu proses pengumpulan dana, pengurusan bantuan serta pelaksanaan program pendidikan, bagi memastikan setiap proses dilaksanakan secara sistematik, konsisten dan berterusan selaras dengan keperluan piawaian yang ditetapkan.
Integriti merupakan prinsip teras dalam setiap aspek operasi YPM. YPM telah diiktiraf dengan pensijilan ABMS yang dikeluarkan pada 14 Februari 2024 dan ianya juga terus dikekalkan melalui proses pembaharuan pensijilan sehingga kini. Pensijilan ini memfokuskan kepada sistem pengurusan anti-rasuah yang menyeluruh, juga dalam aspek pengumpulan dana, pengurusan bantuan, serta pelaksanaan program pendidikan.
Bagi memastikan piawaian ini sentiasa dipatuhi, YPM komited melaksanakan proses penambahbaikan berterusan (continual improvement) dan menjalani audit pemantauan berkala (surveillance audit) bagi mengekalkan status pensijilan tersebut
YPM turut memberikan penekanan yang tinggi kepada persekitaran dan budaya kerja yang selamat dan kondusif. Melalui pensijilan MARA MQS, YPM telah memenuhi syarat ekosistem berkualiti dengan penganugerahan sijil pada 23 Januari 2024.
MARA Ecosystem Quality Standard (MQS) merupakan satu standard yang diperkenalkan oleh MARA bagi menerapkan dan membudayakan amalan kualiti secara berterusan di pusat pentadbiran MARA. Pelaksanaannya berasaskan pembudayaan amalan QE/5S serta mengambil kira keperluan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan keselamatan perlindungan.
Pematuhan berterusan YPM terhadap standard tempatan dan antarabangsa ini merupakan tanda aras penting bagi syarikat korporat, agensi kerajaan dan institusi swasta yang berhasrat untuk melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bersama YPM.
Pemilikan sijil ABMS ISO 37001:2025 dan QMS ISO 9001:2015 berfungsi sebagai jaminan rasmi bahawa setiap dana tajaan yang disalurkan akan diurus tadbir dengan tahap akauntabiliti, ketelusan dan profesionalisme tertinggi. YPM memastikan bahawa setiap sumbangan dioptimumkan sepenuhnya untuk pemerkasaan pendidikan golongan sasaran tanpa sebarang kompromi terhadap integriti.
YPM sentiasa terbuka untuk membentuk jalinan kerjasama strategik bersama sektor korporat dalam menyumbang ke arah pembangunan modal insan negara. Kerjasama yang dibina berasaskan keyakinan dan standard tadbir urus yang kukuh ini diyakini mampu memberikan impak positif yang berpanjangan kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat.